Digital Lifelines Walk meriahkan WTISD 2026





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 24 Mei. - Lebih kurang 300 peserta meriahkan Digital Lifelines Walk sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (World Telecommunication and Information Society Day- WTISD) 2026 yang berlangsung di Dermaga Diraja, di ibu negara hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.


Acara bermula dengan sesi pemanasan badan, diikuti dengan pelepasan rasmi (flag-off) oleh tetamu kehormat bagi acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer.


Selepas aktiviti berjalan kaki berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah melawat pameran mini yang disertai oleh AITI, Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN), Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Imagine Sdn. Bhd., Network Integrity Assurance Technologies Sdn. Bhd. (NiAT) dan ANIAN Sdn. Bhd.


Pameran berkenaan menampilkan inovasi, perkhidmatan, dan inisiatif digital yang bertujuan untuk memperkukuh ketersambungan (connectivity) dan daya tahan negara.


Di samping itu juga, Yang Berhormat juga meluangkan masa menyaksikan laman sesawang Waspada.bn yang merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian dan mempromosi penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab.


Waspada.bn ditubuhkan sebagai tindak balas kolaboratif seluruh kerajaan Whole-of-Government terhadap peningkatan penyebaran berita palsu dan penipuan dalam talian (scams).


Selain itu, Waspada.bn juga berfungsi sebagai platform semakan fakta berpusat yang mesra pengguna, bagi menyediakan akses kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang sah dan boleh dipercayai.


Kandungan yang diterbitkan di platform berkenaan diperoleh secara langsung daripada kemas kini rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, di samping menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan kewaspadaan digital dengan mengesahkan maklumat sebelum berkongsinya dalam talian.


Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad; dan Ketua Eksekutif AITI, Awang Haji Jailani bin Haji Buntar.


Para jemputan lain yang hadir termasuk ahli-ahli pihak berkuasa AITI, pegawai-pegawai kanan dari MTIC, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), serta wakil-wakil dari Persekutuan InfoKom Brunei (IFB), penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan ahli keluarga.


WTISD disambut setiap tahun pada 17 Mei bagi memperingati ulang tahun penandatanganan Konvensyen Telegraf Antarabangsa yang Pertama serta penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).


WTISD disambut untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan internet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menyokong pembangunan masyarakat dan ekonomi serta mempromosi usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital.


Tema sambutan pada tahun ini, iaitu 'Talian Hayat Digital : Memperkukuh Daya Tahan dalam Dunia Terhubung' (Digital Lifelines: Strengthening Resilience in a Connected World), yang menekankan kepentingan membangunkan infrastruktur digital yang selamat, teguh, dan mampan bagi menyokong ketersambungan yang berterusan serta daya tahan digital jangka panjang.


Close